Hadi juga sokong saya kekal pengerusi PN, kata Muhyiddin

Hadi juga sokong saya kekal pengerusi PN, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu itu berkata, beliau malah tawar PAS ambil alih teraju PN, tetapi parti itu menolak.

Muhyiddin-Yassin-Hadi-Awang
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, dalam perjumpaan antara Bersatu dan PAS baru-baru ini, Presiden PAS Hadi Awang keluar kenyataan sokong beliau terus pimpin gabungan itu.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin berkata, beliau masih berpegang pada konsensus parti komponen Perikatan Nasional (PN), khususnya pandangan Presiden PAS Hadi Awang, agar beliau terus menjadi pengerusi gabungan itu.

Presiden Bersatu itu malah berkata, beliau ada menawarkan untuk PAS mengambil alih teraju PN, tetapi parti itu menolak.

“Dalam perjumpaan antara Bersatu dengan PAS untuk membincangkan soal PN beberapa bulan lepas, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hadi menyokong saya sebagai pengerusi PN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Bersatu Pagoh, lapor Astro Awani.

“Saya pernah menawarkan mereka (PAS), selepas saya terpilih semula sebagai presiden Bersatu baru-baru ini … eloklah PAS ambil alih (sebagai pengerusi PN), gilir-gilirlah. (PAS) kata tak nak, tak boleh, (biar saya) teruskan.”

Sementara itu, Muhyiddin turut mengulas mengenai pandangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bahawa kerajaan negeri diterajui PN di Perlis, Kedah dan Terengganu dalam keadaan tidak stabil.

“Kami ini realistik, pragmatik … kita meneliti apa yang sedang berlaku sekarang ini yang secara umumnya ramai orang Melayu terutama ahli Umno sendiri yang sudah menolak.

“Persoalan pokoknya, boleh tak Umno pertahankan 26 kerusi (Parlimen)? Tak usah cakap nak ambil kerusi yang lain, saya ragu, itu yang saya fikir begitu,” katanya.

Beliau menambah, ‘pengkhianatan’ pemimpin Umno terhadap ahli tidak membantu kedudukannya.

“Pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terhadap ahli-ahli dengan meninggalkan perjuangan asal, mendukung kerjasama dengan DAP … yang sejak awal lagi bertentangan ideologi dengan apa yang diperjuangkan oleh UMNO dan lain-lain isu, masalah negara yang didokong oleh Umno dalam BN, kesemuanya tidak membantu kedudukan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.