
Malaysia Aviation Group (MAG) pertama kali memilih A330neo pada 2022, bawah program pembaharuan armada pesawat badan lebar dengan komitmen awal bagi 20 pesawat, di mana setakat ini empat daripadanya sudah dihantar.
Pengarah Urusan MAG, Izham Ismail, berkata A330neo terus memberikan keseimbangan yang tepat antara kecekapan operasi, jarak penerbangan, dan keselesaan kabin untuk menyokong rangkaian dan strategi pertumbuhannya.
“Dengan kecekapan penggunaan bahan api yang dipertingkat dan fleksibiliti bagi laluan serantau serta jarak jauh, pesawat ini amat sesuai dengan keperluan pasaran kami yang sedang berkembang.
“Ia juga membolehkan kami menawarkan produk yang selari dengan penjenamaan premium kami – ringkas, moden, dan direka dengan mengambil kira keselesaan serta jangkaan penumpang,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman itu dibuat semasa lawatan rasmi ke Perancis oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7,000 generasi terkini, A330-900 mampu terbang sejauh 7,200 batu nautika /13,300km tanpa henti.
Ketika ini, MAS mengoperasikan pesawat tersebut dalam perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Auckland dan Bali, Indonesia.
Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Jualan bagi Bahagian Pesawat Komersial Airbus, Benoît de Saint-Exupéry, berkata tambahan ulangan dibuat MAG bukti populariti pesawat berkenaan dalam kalangan syarikat penerbangan premium di seluruh dunia.
“Kami berbangga dapat mengukuhkan lagi hubungan kami dengan MAG sewaktu mereka memperluaskan armada A330neo mereka,” katanya.