
Ketua Polis Johor M Kumar berkata mayat dengan beberapa kesan tembakan di badan itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri di HSA pada awal pagi semalam.
Katanya, rakaman CCTV di kawasan hospital menunjukkan mangsa ditinggalkan oleh dua individu yang menaiki sebuah kereta berwarna gelap. Polis kini sedang mengenalpasti mereka.
“Semakan cap jari mendapati mangsa merupakan seorang lelaki berusia 42 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah yang mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah beberapa tembakan di dada dan perut’,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Katanya, siasatan awal polis mendapati kira-kira jam 12.12 tengah malam pada hari sama, berlaku insiden serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak di Gelang Patah.
Menurutnya, serangan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang satu lagi kumpulan lelaki yang memiliki pistol hingga menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga India berusia antara 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Turut dirampas pistol jenis Glock 19, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9mm, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam serta kelongsong peluru,
Salah seorang suspek yang ditahan bekerja sebagai pengawal peribadi dan memiliki lesen senjata, namun siasatan lanjut akan dijalankan berkaitan status pemilikan itu.
Kumar berkata, semua suspek direman tujuh hari hingga 10 Julai ini dan polis sedang mengenal pasti kaitan mereka dengan si mati dan insiden tersebut.