Pesara rugi lebih RM90,000 angkara sindiket pelaburan tak wujud

Pesara rugi lebih RM90,000 angkara sindiket pelaburan tak wujud

Mangsa berusia 59 ditipu selepas menerima pautan pelaburan di WhatsApp daripada rakan dikenali di Facebook.

Scammer-Hacker
Mangsa yang teruja dengan pulangan RM2,767 membuat pelaburan lebih RM90,000 melalui sembilan transaksi ke enam akaun, kata Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor.
KUALA TERENGGANU:
Seorang pesara kerugian RM90,541 selepas ditipu sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud, bulan lepas.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata lelaki berusia 59 tahun itu menerima pautan menyertai pelaburan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Jun daripada rakan wanita dikenali di Facebook.

“Suspek memujuk lelaki itu mendaftar untuk melabur. Mangsa membuat sedikit pelaburan dan mendapat pulangan RM2,767. Teruja dengan keuntungan itu, dia seterusnya melabur RM90,541 melalui sembilan transaksi ke enam akaun.

“Bagaimanapun, mangsa menerima mesej pada 2 Julai lepas memberitahu terdapat kesilapan pada transaksi terakhir dan perlu membayar denda RM31,400 selain dijanjikan pulangan RM432,000 jika membuat pembayaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak di sini semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.