Ke mana cukai anda pergi?

Ke mana cukai anda pergi?

FMT menyingkap bagaimana Malaysia mampu menyediakan banyak bantuan kebajikan walaupun mempunyai asas cukai yang sempit.

mof
Kementerian Kewangan mengunjurkan kutipan hasil daripada SST meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM51.7 bilion tahun ini, dan RM10 bilion pada 2026. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Malaysia berada dalam kedudukan agak luar biasa apabila hasil cukainya rendah berbanding keluaran ekonomi, namun kerajaan tetap berjaya meningkatkan bantuan kebajikan kepada rakyat yang terkesan dari segi kewangan.

Hasil cukai negara adalah sumber penting bagi membiayai inisiatif untuk menyokong golongan miskin dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan. Ini termasuk bantuan tunai langsung, subsidi, dan pelbagai program sosial.

Namun, tekad kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah terhalang oleh asas cukai negara yang sempit, dengan hasil sekitar 12% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu terendah di Asean selain Indonesia.

FMT menyingkap strategi kerajaan untuk meningkatkan kutipan cukai bagi menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada rakyat.

Mereformasi struktur cukai

Kerajaan mengakui keperluan untuk mereformasi struktur cukai bagi memperluas asas cukai negara.

Asas cukai yang sempit berpunca daripada hakikat hanya sekitar 15% tenaga kerja dan kira-kira 20% daripada syarikat berdaftar membayar cukai pendapatan.

Pakar menjelaskan, hasil kerajaan sebahagian besar diperoleh daripada cukai langsung seperti cukai pendapatan dan korporat. Kerajaan juga menerima sejumlah besar hasil berasaskan sumber melalui Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam bentuk cukai dan dividen.

Bagaimanapun, sumbangan daripada cukai penggunaan jauh lebih rendah. Kerajaan berusaha mengimbangi keadaan ini melalui Belanjawan 2024 dengan menaikkan kadar cukai bagi kebanyakan perkhidmatan bercukai bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8%.

Kerajaan melangkah setapak lebih jauh dalam Belanjawan 2025 dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan cukai, termasuk peluasan SST, cukai dividen baharu sebanyak 2% ke atas pemegang saham individu, serta cukai karbon yang akan berkuat kuasa pada 2026.

Peluasan skop SST bermula 1 Julai melibatkan lebih banyak perkhidmatan dan barangan bukan keperluan. Kategori baharu perkhidmatan bercukai juga dimasukkan bawah rejim SST, manakala barangan premium dan bukan keperluan yang diimport akan dikenakan kadar cukai lebih tinggi.

Peluasan rejim SST dijangka menambahkan hasil kepada dana kerajaan, dengan Kementerian Kewangan mengunjurkan kutipan hasil daripada SST meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM51.7 bilion tahun ini, dan RM10 bilion pada 2026.

Pengukuhan fiskal

Pembaharuan cukai adalah sebahagian daripada inisiatif reformasi fiskal lebih menyeluruh oleh kerajaan untuk menangani peningkatan hutang negara yang mencecah RM1.22 trilion atau 63% daripada KDNK setakat April 2024.

Langkah kerajaan diterajui Perikatan Nasional ketika itu dalam menangani pandemik Covid-19 meningkatkan hutang negara apabila lebih RM530 bilion dibelanjakan untuk pakej rangsangan dan pemulihan sepanjang 2020 hingga 2022.

Defisit fiskal — berlaku apabila jumlah perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatannya — meningkat 3.4% daripada KDNK pada 2019 kepada 6.4% pada 2021, paras tertinggi sejak 2009.

Namun, defisit fiskal menunjukkan penurunan sejak kerajaan perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan pada akhir 2022. Pentadbiran ini mengambil langkah berani dengan melaksanakan inisiatif seperti penyasaran subsidi bahan api dan pembaharuan cukai.

Usaha pengukuhan fiskal kerajaan mula membuahkan hasil apabila defisit fiskal menurun kepada 4.1% daripada KDNK pada 2024, berbanding 5% pada 2023. Kerajaan menjangkakan defisit terus menurun kepada 3.8% tahun ini.

Inisiatif pembaharuan fiskal kerajaan mendapat pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan agensi penarafan kredit utama antarabangsa, yang mengekalkan penarafan gred pelaburan Malaysia pada 2024.

Meningkatkan bantuan kepada B40, M40

Tidak seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), SST kekal lebih bersasar, sekali gus meminimumkan beban ke atas individu berpendapatan rendah.

Kementerian Kewangan memberi jaminan peluasan skop SST hanya menyasarkan barangan dan perkhidmatan bukan keperluan, bagi memastikan perbelanjaan harian isi rumah golongan B40 dan M40 kekal sebahagian besarnya tidak terjejas.

Lebih penting, sebahagian besar daripada peningkatan hasil yang dijana melalui inisiatif percukaian ini akan disalurkan semula untuk membantu golongan memerlukan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, berkata seramai 5.4 juta rakyat Malaysia daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka mendapat manfaat daripada peluasan skop SST.

Beliau berkata, peningkatan hasil dijangka membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40, seperti melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bilangan penerima SARA meningkat ketara kepada 5.4 juta sejak April lalu berbanding hanya 700,000 sebelum ini.

Berikut ialah ringkasan inisiatif kebajikan utama kerajaan perpaduan:

Sumbangan Tunai Rahmah (STR): Program bantuan tunai utama Malaysia ini menyediakan bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang layak, warga emas, serta individu bujang. Dengan matlamat untuk meringankan kos sara hidup rakyat, program ini menyalurkan bantuan tunai kepada 5.4 juta penerima terutama isi rumah B40, dan setiap keluarga boleh menerima hingga RM2,000 setahun.

SARA: Program STR turut merangkumi SARA yang menyediakan subsidi bulanan hingga RM100 kepada keluarga berpendapatan rendah melalui MyKad bagi meringankan kos sara hidup mereka.

Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi STR dan SARA tahun ini, dengan sejumlah RM13 bilion untuk menyokong sembilan juta penerima manfaat.

Inisiatif SejaTi Madani: RM1 bilion diperuntukkan untuk memperkasa komuniti miskin bandar dan luar bandar, dengan tumpuan khusus kepada masyarakat Orang Asli dan golongan terpinggir.

Program Perumahan Rakyat (PPR): RM100 juta diperuntukkan untuk menambah baik taraf hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam komuniti PPR.

Bantuan lain

Terdapat juga inisiatif lain seperti bantuan khas untuk penjawat awam dan pesara, individu OKU, warga emas, ibu tunggal serta peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.