21 ditahan disyaki curi, tipu urusan jual beli sawit

21 ditahan disyaki curi, tipu urusan jual beli sawit

Suspek terdiri daripada 15 wanita dan enam lelaki itu ditahan di 14 lokasi berasingan di Hilir Perak.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin menunjukkan resit jual beli buah sawit yang dirampas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Perak menahan 15 wanita dan enam lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi dan penyelewengan urusan jual beli buah kelapa sawit di Hilir Perak.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata suspek yang berusia 20 hingga 63 tahun itu ditahan dalam serbuan di 14 lokasi berasingan di daerah itu, pada Rabu, lapor Bernama.

“Op Khas Helang Hilir Fasa 1 ini melibatkan serbuan di 12 pusat pengumpulan sawit berlesen dan dua premis pembeli buah sawit tidak berlesen.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas 18 barangan seperti lesen perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), set komputer dan resit jual beli buah sawit,” katanya pada sidang media di IPD Hilir Perak.

Katanya, hasil siasatan awal menunjukkan wujud elemen penipuan, penyelewengan serta pemalsuan dokumen di premis-premis terlibat.

Tambahnya, siasatan lanjut juga akan dijalankan melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi meneliti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan.

Bakri berkata semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah direman semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dalam fasa 2 memfokuskan kepada individu yang dikenal pasti serta bersubahat dalam kes kecurian sawit di Hilir Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.