
Beliau berkata, kementeriannya sedang memantau kenaikan harga diesel serta kesannya ke atas sektor pengangkutan pelancongan, yang diakuinya menyebabkan lonjakan mendadak kos operasi pengusaha yang sangat bergantung kepada diesel.
Menurutnya, keadaan itu boleh membawa kesan berantai kepada jumlah ketibaan pelancong, perniagaan dan kestabilan ekosistem pelancongan Malaysia.
“Saya telah menerima maklum balas daripada persatuan dan pihak berkepentingan berkaitan dan mengarahkan kementerian saya memulakan konsultasi segera dengan MoF.
“Perbincangan ini akan memberi tumpuan kepada situasi semasa serta mempertimbangkan langkah bersasar, termasuk sokongan bersifat sementara bagi membantu mengurangkan tekanan jangka pendek, yang sebahagiannya dipengaruhi perkembangan di Timur Tengah,” katanya dalam catatan Facebook.
Jelasnya, kerajaan mahu menstabil dan menaik taraf sektor itu yang merupakan tonggak penting industri pelancongan.
Beliau berkata, objektif kerajaan bukan sekadar membantu pengusaha mengatasi situasi semasa, tetapi membina sistem pengangkutan pelancongan lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Saya menggesa pemain industri terus berhubung rapat dengan kerajaan serta terlibat dalam dialog yang rasional dan membina dalam kita bersama menangani isu ini.
“Saya berharap semua pihak kekal tenang dan bertindak secara berhemah serta tidak dipengaruhi emosi semata-mata. Kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk mengimbangi pelbagai kepentingan terlibat dan mencari penyelesaian munasabah.”
Harga diesel di Malaysia Barat meningkat sebanyak RM1.60 dalam tempoh dua minggu lalu akibat perang di Timur Tengah.
Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia memberi amaran pengusaha pengangkutan pelancongan mungkin terpaksa gulung tikar jika Putrajaya tidak campur tangan dalam permohonan subsidi diesel, manakala Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia berkata kenaikan harga boleh menjejaskan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Di Langkawi, perkhidmatan feri ke pulau itu akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sehari selepas Aidilfitri susulan kenaikan harga diesel.