
Pejabat Ketua Pendaftar berkata, pelantikan itu selaras Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 9(1)(b) dan 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Hakim besar Malaya akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas ketua hakim negara (termasuk fungsinya bawah Perlembagaan) sehingga jawatan tersebut diisi.
“Badan kehakiman kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Hasnah, yang dilantik hakim besar Malaya November lalu, mendapat lanjutan enam bulan baru-baru ini. Beliau akan bersara 14 Nov nanti.
Tengku Maimun menjadi wanita pertama dilantik ketua hakim negara di Malaysia. Beliau bersara Isnin lalu selepas mencapai usia persaraan wajib 66 tahun.
Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim turut melepaskan jawatannya semalam selepas mencapai usia sama.
Tidak jelas siapa yang bakal dilantik mengisi dua jawatan tertinggi itu.
Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong melantik hakim berdasarkan nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja, yang dijangka bersidang dalam tempoh dua minggu.
Senarai pendek calon biasanya disediakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang ditubuhkan bawah Akta JAC 2009. Tetapi, tidak diketahui sama ada JAC sudah menyerahkan sebarang cadangan atau siapa yang sedang dipertimbangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.