
PETALING JAYA: Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di tempat letak kenderaan Taman Cendawan Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Polis memaklumkan sebuah bas melanggar tiang bumbung yang tumbang dan menghempap sebuah teksi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan,” kata Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar.
Siasatan awal polis mendapati bas yang diletakkan di tempat letak kenderaan bergerak lalu melanggar tembok pembahagi jalan dan tiang bumbung.
Akibat pelanggaran, tiang bumbung yang dilanggar tumbang dan menghempap sebuah teksi berdekatan.
Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada 12.20 tengah hari.