SPRM siasat taikun didakwa pembiaya skandal rasuah

SPRM siasat taikun didakwa pembiaya skandal rasuah

Sumber berkata taikun itu dikatakan pembiaya skandal rasuah membabitkan Albert Tei dan pemimpin Umno Sabah.

Isnin lalu Albert Tei mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan beri rasuah berjumlah RM350,000 berhubung permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah kepada dua Adun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat taikun syarikat Singapura yang dikatakan pembiaya skandal rasuah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei dan pemimpin Umno Sabah.

Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, mengesahkan perkara itu dan menyatakan pihaknya akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, siasatan itu susulan artikel tular di media sosial mengenai individu terbabit.

“Merujuk kepada sebuah artikel berhubung seorang taikun syarikat Singapura yang dikatakan pembiaya skandal rasuah membabitkan Albert Tei dan pemimpin Umno Sabah, SPRM telah memulakan siasatan untuk mengesahkan maklumat tersebut,” katanya.

Isnin lalu, Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu terhadap dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 berhubung permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah kepada dua Adun.

Tei didakwa memberi suapan RM200,000 kepada Adun Sindumin Dr Yusof Yacob dan RM150,000 kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Andi Muhammad Suryady Bandy.

Adun terbabit juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah.

Dakwaan skandal itu timbul tahun lalu selepas beberapa video bocor dikatakan menunjukkan perbincangan rasuah dan salah laku berkaitan projek mencari gali mineral di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.