
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata polis berdepan kesukaran mengenal pasti suspek dipercayai terbabit melarikan wanita itu kerana kenderaan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan nombor casis tidak sama.
“Pemilik kereta sebenar pun kita sudah rakam (keterangan) dan bukan orangnya (suspek),” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata, lakaran wajah suspek hanya mencapai 40% ketepatan.
Katanya, polis sedang berusaha mendapatkan bukti di lokasi kejadian serta petunjuk melalui pelbagai cara, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ling, 42, dilaporkan hilang 9 April lalu ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya dengan menaiki kenderaan e-panggilan untuk memberi keterangan berhubung siasatan sedang dijalankan.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan merangkumi semakan terhadap lokasi terakhir wanita itu, termasuk pemeriksaan rakaman CCTV dan maklumat perkhidmatan e-panggilan digunakan.