Pengguna perlu bantu banteras pencatutan, inflasi, kata ahli ekonomi

Pengguna perlu bantu banteras pencatutan, inflasi, kata ahli ekonomi

Madeline Berma berkata pemantauan dan kerjasama orang ramai perlu untuk pantau peniaga ambil kesempatan naik harga barang tanpa alasan munasabah.

public crowd
Kementerian Kewangan dan firma penyelidikan jangka peluasan SST tidak beri kesan besar kepada orang ramai termasuk dari segi inflasi dengan anggaran kenaikan kurang 0.25% hingga 1.6%.
PETALING JAYA:
Langkah kerajaan meminimumkan kesan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) perlu disusuli kerjasama pelbagai pihak terutama pengguna bagi menutup ruang aktiviti pencatutan, menurut ahli ekonomi.

Madeline Berma berkata mengikut unjuran dibuat Kementerian Kewangan dan firma penyelidikan, perubahan kepada SST bermula semalam tidak memberi kesan besar jangka pendek termasuk dari segi inflasi dengan anggaran kenaikan kurang 0.25% hingga 1.6%.

madeline
Madeline Berma.

Menurut felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) itu, tumpuan peluasan SST kepada barangan mewah, hiburan dan perkhidmatan gaya hidup berbanding produk keperluan asas mengelakkan pengurangan ketara dalam kuasa beli isi rumah sekali gus mengehadkan tekanan inflasi.

Namun di sebalik inisiatif itu, Madeline mengingatkan kerajaan perlu meningkatkan pemantauan untuk mengelakkan kos sara hidup meningkat mendadak akibat pencatutan atau menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah.

“Selain itu, kerjasama orang ramai memberi maklumat serta bukti berkaitan tindakan menaikkan harga secara tidak wajar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya kepada FMT.

Selain mengenakan cukai di antara 5% hingga 10% terhad bagi barangan bukan keperluan serta perkhidmatan tertentu, Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu menambah buah-buahan import seperti kurma, oren, epal dan limau dalam senarai barang dikecualikan cukai jualan (CJ).

Kerajaan juga tidak meneruskan peluasan cukai perkhidmatan (CP) kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku dan wajah serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut, selain menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta Kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Ambang jualan tahunan bagi perniagaan tertakluk kepada CP untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta, memanfaatkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Kerajaan memperluaskan skop SST yang antaranya untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Abu Sofian Yaacob.

Abu Sofian Yaacob dari Kolej Universiti i-CATS pula berkata peningkatan minimum inflasi mungkin dirasai dalam tempoh 12 bulan akan datang namun akan mereda selepas itu.

Menurutnya, golongan B40 dan M40 dijangka tidak terlalu terjejas kerana kurang membeli barangan dan makanan import seperti ‘king crab’.

Beliau bagaimanapun mencadangkan kerajaan melihat semula senarai barangan dan perkhidmatan terbabit dalam peluasan skop SST selepas satu tempoh tertentu.

“Dari segi tinjauan semula dan penambahbaikan dasar, Kabinet mungkin boleh kaji semula senarai SST sekiranya tekanan inflasi jauh melebihi unjuran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.