N Sembilan larang minum arak di taman rekreasi, pantai

N Sembilan larang minum arak di taman rekreasi, pantai

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata mereka yang melanggar arahan itu boleh dikompaun sehingga RM2,000.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata tindakan itu bagi menghormati sensitiviti orang ramai yang beriadah di taman rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan padang serta pantai awam. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan melarang aktiviti minum minuman keras di taman rekreasi, taman permainan kanak-kanak dan padang serta pantai awam berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata tindakan itu bagi menghormati sensitiviti orang ramai yang menggunakan tempat tersebut untuk beriadah, dan penguatkuasaan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta polis dengan kompaun maksimum sehingga RM2,000 boleh dikenakan kepada mereka yang ingkar.

“Sebelum ini banyak aduan diterima berkenaan individu minum minuman keras di beberapa tempat tersebut secara terbuka dan membuang bekas minuman sesuka hati.

“Kita tidak menghalang. Mereka boleh minum (minuman keras) di mana-mana sahaja, di kedai atau tempat tertutup kecuali tempat dilarang sahaja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco.

Sementara itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J Arul Kumar berkata antara aduan diterima PBT ialah gangguan bising, pergaduhan dan botol minuman keras dipecah dan dibuang di kawasan tumpuan awam itu.

“Ada kanak-kanak dan orang awam tercedera (akibat botol minuman keras).

“Banyak padang, taman permainan, taman rekreasi serta pantai awam menjadi lokasi masyarakat beriadah dan bersenam, tetapi apabila dijadikan tempat minum minuman keras, masyarakat tidak mahu ke situ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.