
Penahanan dua lelaki tempatan itu diumumkan Ketua Polis Brickfields Ku Mashariman Ku Mahmood malam tadi, menyusuli laporan polis dibuat pengadu pagi tadi.
Kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah, dan Seksyen 36(1) Akta Senjata.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan selama empat hari sehingga 5 Julai oleh majistret Kuala Lumpur,” menurut kenyataan.
Menurut laporan pengadu, kereta dipandunya dilanggar sebuah kenderaan berwarna merah di cermin sisi kanan di Taman Desa kira-kira 11 malam semalam.
Berlaku pertengkaran antara mereka dan tiba-tiba pemandu kenderaan merah itu mengeluarkan sepucuk ‘pistol’ dan mengacu ke arah pengadu.
Siasatan mendapati ia pistol tiruan yang dibeli di aplikasi TikTok milik salah seorang suspek.
“Polis menasihati orang ramai melaporkan sebarang bentuk jenayah atau pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” katanya.