
Sumber Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta industri maritim mendedahkan kajian dua tahun mencadangkan pos kawalan keselamatan tetap didirikan dalam jarak 1km dari Pulau Ligitan, yang terletak kira-kira 50km dari Tawau.
Menurut pegawai berkenaan, rancangan itu melibatkan pengukuhan keselamatan di Pulau Ligitan memandangkan ancaman jenayah rentas sempadan semakin membimbangkan, termasuk keganasan susulan kedudukannya yang hampir dengan Filipina dan Indonesia.
Kerajaan negeri dan persekutuan dipercayai mempertimbangkan belanjawan sehingga RM300 juta untuk membangunkan sebuah pos imbangan komprehensif, termasuk kuarters yang boleh menampung sehingga 60 kakitangan secara bergilir-gilir 24 jam.
Projek itu, yang akan dilaksanakan kontraktor swasta, difahamkan sedang menunggu kelulusan kerajaan dan peruntukan belanjawan.
Pegawai yang enggan dinamakan itu mendedahkan Jabatan Alam Sekitar sedang menjalankan penilaian kesan alam sekitar, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia ditugaskan melakukan pemetaan hidrografi di sekitar Pulau Ligitan, yang buat masa ini cuma mempunyai sebuah rumah api.
“Kami melihat ini usaha untuk mengukuhkan kedaulatan aset maritim memandangkan pertikaian wilayah maritim semakin meningkat di Laut Sulawesi dan Laut Sulu, melibatkan Indonesia serta Filipina.
“Sekiranya Ligitan tidak diperkukuh dengan efektif, kita tidak boleh membuka pulau itu – yang saiznya lebih kecil daripada padang bola sepak ketika air surut – untuk pelancong dan membangunkan resort di sekitarnya seperti di Sipadan, kira-kira 28km dari situ,” kata sumber itu kepada FMT.
Menurutnya, kerajaan “belajar daripada kesilapan” susulan pertikaian wilayah Pulau Batu Puteh dengan Singapura, Limbang (Brunei) serta blok Ambalat di Laut Sulawesi (Indonesia).
Selepas Abu Sayyaf menculik 21 pelancong dari Sipadan pada 23 April 2000 dan pencerobohan di Lahad Datu oleh 235 militan Sulu pada 11 Feb 2013, Majlis Keselamatan Negara mengambil alih kawalan di Sipadan dan Ligitan. Dua pulau itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah pada 6 Julai 2019.
Pegawai berkenaan berkata, pos imbangan yang dicadangkan di Pulau Ligitan akan mencontohi Stesen Lima, kemudahan operasi hadapan yang ditubuhkan pada 1983 di Pulau Layang-Layang di Laut China Selatan.
“Pos imbangan Ligitan dijangka merangkumi set penjana kuasa, sistem osmosis berbalik untuk menukar air laut masin menjadi air minuman, menara pemerhati, gudang senjata api, dapur, dewan makan, bilik mesyuarat, dobi, sistem pengurusan kumbahan, bilik simpanan bahan api dan kawalan jentera, jeti, benteng pemecah ombak, helipad, bot pemintas serta bot taman laut.”