Wanita buat repot palsu selepas habiskan wang majikan RM21,000

Wanita buat repot palsu selepas habiskan wang majikan RM21,000

Polis berkata wanita 23 tahun dalam laporannya semalam mendakwa disamun di Gelang Patah.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata hasil siasatan mendapati RM21,000 milik majikan digunakan wanita itu untuk perbelanjaan peribadi.
PETALING JAYA:
Seorang wanita membuat laporan polis palsu mendakwa RM21,000 milik majikannya dilarikan penyamun, sedangkan dia sendiri yang membelanjakan wang itu.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata laporan itu diterima pada 2.23 petang semalam daripada wanita tempatan berusia 23 tahun mendakwa disamun di Gelang Patah, Johor.

“Hasil siasatan mendapati wang tunai itu sudah digunakan pengadu untuk perbelanjaan peribadi,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu lagi laporan palsu daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun pada 1.35 pagi tadi.

“Pengadu mendakwa disamun di tepi jalan dekat kawasan Kangkar Pulai dan begnya yang mengandungi dokumen peribadi dilarikan,” katanya sambil menambah hasil siasatan mendapati kedua-dua laporan polis itu palsu.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan palsu bagi mengelakkan didenda Jabatan Pendaftaran Negara untuk pembaharuan kad pengenalan yang sebenarnya tercicir, bukannya disamun.

Kumarasan mengingatkan orang ramai membuat laporan palsu satu kesalahan bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.