Selangor rangka polisi baharu elak kebakaran paip gas

Selangor rangka polisi baharu elak kebakaran paip gas

Menteri Besar Amirudin Shari berkata ia adalah proses pembelajaran dan tindakan susulan perlu diambil susulan insiden Putra Heights.

Insiden 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%.
HULU LANGAT:
Kerajaan Selangor akan mendapatkan beberapa pakar dalam pelbagai aspek, termasuk perundangan, bagi merangka polisi baharu khusus untuk mengelak kejadian seumpama kebakaran paip gas di Putra Heights 1 April lalu berulang.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata ia merupakan proses pembelajaran dan tindakan susulan yang perlu diambil susulan insiden berkenaan.

“Itu salah satu daripada terma rujukan ataupun satu antara tugas-tugas jawatan kuasa khas berkenaan, untuk melihat sudut ataupun bingkai perundangan yang boleh dikuatkuasakan.

“Perundangan itu dalam pelbagai peringkat. Ia boleh jadi undang-undang kecil, ia boleh juga menjadi syarat baru dalam unit pusat setempat (OSC), ia boleh juga menjadi enakmen dan juga boleh jadi akta,” katanya dalam sidang media.

Amirudin berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum kerjasama bersama tiga rakan strategik iaitu Universiti Selangor, Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) serta Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) untuk memperkukuh usaha pembangunan ekosistem industri air.

Semalam, beliau dilaporkan berkata Selangor akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti laporan berhubung kebakaran paip gas itu dan merangka langkah jangka panjang, di samping mencadangkan peraturan-peraturan baharu dan langkah pencegahan bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang.

Jawatankuasa itu akan membabitkan petugas kerajaan negeri, persekutuan, Petronas serta agensi teknikal berkaitan, yang akan meneliti hasil siasatan lengkap polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 26 Jun lalu berhubung insiden kebakaran itu.

Insiden pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.