Remaja OKU dituduh bunuh lelaki warga emas

Remaja OKU dituduh bunuh lelaki warga emas

Tertuduh didakwa membunuh lelaki usia 60 tahun 19 Jun lalu.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh bawah kuasa Mahkamah Tinggi. (Gambar Bernama)
TANAH MERAH:
Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (intelektual) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas, 19 Jun lalu.

Tuan Mohamad Izmal Firdaus Tuan Muda, 18, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Shamsudin Mohamed, 60, di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh, antara 6 dan 6.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Mahkamah menetapkan 2 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.