
Ia turut mengumumkan pelantikan Amir Hamdan sebagai pemangku presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa 15 Julai ini, menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bersama Prasarana pada 14 Julai nanti.
Nasir pernah berkhidmat sebagai CEO Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga bersara 1 Jun 2011.
“Beliau juga memikul tanggungjawab pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak 2018,” katanya dalam kenyataan.
Prasarana memaklumkan sebelum pelantikan ini, Amir memegang jawatan ketua pegawai operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana dan memainkan peranan penting memperkukuh kecekapan operasi serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.
“Amir menyertai Prasarana pada 2019 sebagai timbalan ketua pegawai kewangan sebelum dilantik CEO Rapid Rail Sdn Bhd pada 2022.”
Sepanjang menerajui Rapid Rail, katanya, beliau memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan rel.
“Amir merupakan lulusan ijazah sarjana muda perdagangan Lincoln University of New Zealand dan ijazah sarjana dalam amalan kewangan Islam Universiti INCEIF serta ahli bertauliah Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).”
Prasarana turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jamaludin serta Azharuddin atas jasa dan kepimpinan mereka sepanjang empat tahun menerajui syarikat.
Menurutnya, kepimpinan mereka membawa kepada kejayaan merekodkan jumlah penumpang harian rel dan bas tertinggi pada 31 Dis 2024, iaitu 1.5 juta, mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel daripada 255 pada 2022 kepada 71 gangguan (2024) serta pengenalan inisiatif baharu seperti perkhidmatan van Rapid On-Demand.