
Ketua Pemuda DAP Melaka, Cassel Krishnan berkata kenyataan Noh yang mempertikaikan pelantikan Sim itu sekadar tuduhan umum yang tidak disokong bukti.
“Persoalan asas yang wajar dijawab dengan jelas dan berfakta, sejak bila Sim mempertikaikan DEB?
“Jika benar dakwaan tersebut, saya cabar Noh untuk nyatakan satu sahaja insiden yang jelas lengkap dengan fakta dan konteks,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Noh dalam satu kenyataan berkata pelantikan Sim untuk memegang portfolio pembangunan usahawan dan koperasi mengejutkan usahawan Bumiputera.
Beliau berkata pemindahan portfolio itu kepada seorang menteri dari DAP — sebuah parti yang memperjuangkan kesaksamaan dan sering mempertikaikan prinsip DEB — menimbulkan kebimbangan mengenai perlindungan masa depan terhadap syarikat mikro, kecil dan sederhana Bumiputera.
Noh yang pernah menerajui kementerian itu sebanyak dua kali, berkata objektif teras kementerian itu adalah untuk memperkasa usahawan Bumiputera, membangunkan ekosistem keusahawanan nasional yang kukuh, serta meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030.
Cassel berkata rekod Sim di kementerian sebelum ini misalnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kewangan, dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menunjukkan beliau sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.
“Sim ketika menerajui Kesuma turut memperkenalkan pelbagai dasar berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk ramai anak muda Bumiputera.
“Antaranya perlindungan Perkeso selama 24 jam, penambahbaikan kebajikan pekerja gig serta kenaikan gaji minimum. Ini bukan retorik politik tetapi polisi konkrit dengan kesan nyata kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Cassel juga mempersoalkan motif serangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu yang dibuat terlalu awal sedangkan Sim baru sahaja memulakan tugas di kementerian tersebut.
“Hakikatnya, Sim baru sehari sahaja dilantik sebagai menteri. Bagaimana Noh sudah mampu membuat pertikaian yang adil terhadap kelayakan dan keupayaan beliau seawal ini? “katanya.
Sim mengambil alih portfolio pembangunan usahawan dan koperasi susulan rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa.