Majlis Peguam adakan EGM bincang kesinambungan badan kehakiman

Majlis Peguam adakan EGM bincang kesinambungan badan kehakiman

Mesyuarat agung luar biasa dijadual 26 Julai akan bincang perihal proses lantikan dan perkara lain.

malaysian bar
Semalam, Badan Peguam menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai kejelasan persaraan Tengku Maimun Tuan Mat.
PETALING JAYA:
Majlis Peguam akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Badan Peguam pada 26 Julai bagi membincangkan isu kesinambungan kepimpinan badan kehakiman, selain perkara lain.

Menurut salinan pekeliling dimuat naik di platform X oleh peguam, Lim Wei Jiet, EGM itu juga akan membincangkan ‘sekiranya difikirkan sesuai, meluluskan satu atau lebih usul berhubung kekosongan jawatan dalam badan kehakiman, kedudukan penyandang jawatan, proses pelantikan serta isu kebebasan badan kehakiman secara amnya’.

Pengumuman itu menyusul perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun esok, dengan hari ini adalah hari terakhirnya.

Pengganti yang dijangka mengisi jawatan itu, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, dijadualkan bersara sehari selepas itu, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, pula akan bersara pada Ogos.

Semalam, Badan Peguam menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kurangnya kejelasan mengenai persaraan Tengku Maimun tidak lama lagi, dengan Presidennya, Ezri Abdul Wahab, berkata sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai lantikan pengganti.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menyatakan lanjutan tempoh perkhidmatan penjawat awam, termasuk hakim tertinggi, bukanlah sesuatu yang automatik dan mesti mematuhi prosedur mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menyatakan rasa hairan bagaimana isu persaraan, sama ada melibatkan penjawat awam, hakim atau pegawai lain, menjadi persoalan.

Anwar berkata, nampaknya ada kempen untuk menekan kerajaan sama ada melanjut atau menamatkan tempoh tertentu, yang boleh mempolitikkan institusi sepatutnya kekal bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.