
Menurut DOSM, nilai KDNK Johor mencecah RM158.0 bilion pada 2024 disokong oleh kedudukannya yang strategik di selatan Semenanjung, jaringan prasarana moden, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kawasan perindustrian yang luas dan berdaya saing.
Katanya, perkembangan pesat pembangunan pusat data di negeri itu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.0%, didorong oleh pelaburan berskala besar dalam pusat data,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
“Peningkatan yang memberangsangkan dapat dilihat dalam subsektor kewangan dan insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang berkembang 8.7%, di samping prestasi kukuh dalam subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mencatat pertumbuhan 6.0%.”
Sektor pembinaan di Johor melonjak 42.7% pada 2024, didorong oleh projek-projek pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam, termasuk pencawang kuasa, sistem penyejukan canggih serta rangkaian fiber optik berkapasiti tinggi.
“Pembangunan infrastruktur digital ini turut menyokong sektor pembuatan yang meningkat 4.2%, dipacu oleh produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, serta produk elektrik, elektronik dan optikal yang masing-masing berkembang 7.1% dan 1.9%,” kata DOSM.
Dalam sektor pertanian, Johor merupakan pengeluar utama hasil pertanian negara, menyumbang 17.3% kepada KDNK pertanian Malaysia pada 2024.
Sektor pertanian di negeri itu turut berkembang, pulih kepada 4.2% daripada penyusutan 1.3% pada tahun sebelumnya, dipacu oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi.
“Peningkatan ini turut merangsang prestasi produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, dan pemprosesan makanan yang meningkat 6.7%, sekali gus mendorong kepada pertumbuhan sektor pembuatan,” kata DOSM.
Pada 2023, Johor mencatat pertumbuhan 4.1% dengan KDNK bernilai RM148.6 bilion.
Prestasi cemerlang ini mengukuhkan kedudukan Johor sebagai negeri yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.