Tegur sebelum saman pemandu, penumpang bas ekspres, gesa persatuan

Tegur sebelum saman pemandu, penumpang bas ekspres, gesa persatuan

Saman RM300 terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres tidak memakai tali pinggang keledar bermula 1 Julai terlalu tegas.

bas ekspres
Semalam, Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar bermula 1 Julai atau disaman RM300 jika ingkar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa melihat semula tindakan saman RM300 bagi pemandu dan penumpang bas ekspres yang tidak memakai tali pinggang keledar bermula esok.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Abu Hassan Awang, berkata langkah itu dilihat terlalu tegas dan sebaiknya peringatan harus diberikan terlebih dahulu supaya peraturan baharu terbabit dapat dihebahkan secara meluas kepada orang ramai.

“Kita menyokong dasar kerajaan untuk keselamatan pemandu dan penumpang bas ekspres.

“Namun pelaksanaan itu sepatutnya ada tempoh masanya dan jangan terus saman kerana kebanyakan yang menaiki bas ekspres ini adalah daripada golongan B40,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar bermula 1 Julai.

Aedy berkata penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.

Menurutnya, pemandu perlu memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputra Malaysia (PPBBM) Zainal Abidin Mehat pula melihat arahan dikeluarkan itu sangat sesuai berikutan risiko perjalanan menggunakan bas ekpres dan persiaran.

Katanya, beliau menyokong langkah kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar berkenaan.

“Bagi bas yang tiada tali pinggang keledar, kerajaan telah pun memberi masa yang cukup untuk memenuhinya.

“Arahan mewajibkan (tali pinggang keledar) ini pastinya demi keselamatan penumpang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.