Pesara rugi RM838,000 angkara pelaburan tak wujud

Pesara rugi RM838,000 angkara pelaburan tak wujud

Mangsa melakukan lapan transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza.

scammers
Polis berkata lelaki berusia 72 tahun dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan ‘P166 HIFA’ dan berurusan dengan seorang wanita.
ALOR SETAR:
Seorang pesara guru kerugian RM838,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud ditawarkan melalui WhatsApp, Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Loi Yew Lik, berkata lelaki berusia 72 tahun itu dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan ‘P166 HIFA’ dan berurusan dengan seorang wanita.

“Mangsa diberikan satu pautan untuk memuat naik satu aplikasi (PHC VIEW) Pinnacle Horizon Capital untuk melihat keuntungan diterima dalam pelaburan itu.

“Individu itu menjanjikan mangsa akan menerima pulangan lima kali ganda daripada jumlah dilaburkan dalam tempoh beberapa hari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa melakukan lapan transaksi keseluruhan wang RM838,000 ke dalam empat akaun bank berbeza.

Loi berkata, mangsa kemudian melihat keuntungan berjumlah RM4.09 juta diperolehinya menerusi aplikasi dimuat naik itu, namun diberikan pelbagai alasan apabila mahu mengeluarkan wang terbabit.

“Individu terlibat turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan. Mangsa kemudian membuat laporan polis apabila menyedari ditipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai berhati-hati dengan penipuan pelaburan dalam talian atas talian menggunakan nama syarikat pelaburan yang wujud seperti ‘Pinnacle Horizon Capital’ dan ‘Moomoo’ bagi mengaburi mangsa.

Setakat ini, pihaknya membuka empat kertas siasatan melibatkan kes pelaburan ‘Moomoo’ dan tiga bagi pelaburan ‘Pinaccle Horizon Capital’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.