Pelaburan direalisasi ECERDC cecah RM6.4 bilion

Pelaburan direalisasi ECERDC cecah RM6.4 bilion

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur rekod pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

anwar ibrahim
Perencanaan kerajaan terutama melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan lapan projek dijadualkan siap pada tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata ECERDC juga berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu setakat ini.

“Dalam tempoh yang sama, nilai pelaburan komited pula mencecah RM10.4 bilion, iaitu melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025,” kata beliau di Facebook.

Terdahulu, perdana menteri menghadiri mesyuarat ECERDC bagi meneliti kemajuan semasa petunjuk utama koridor ekonomi itu selain membincangkan kerangka hala tuju pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang sedang giat disediakan kerajaan.

Anwar berkata perencanaan kerajaan terutama melalui Pelan Pembangunan ECER antara lain akan menyaksikan lapan projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan siap pada tahun ini.

“Saya tekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam usaha menarik pelabur, termasuklah kepentingan peratusan elemen peralihan teknologi dan kemahiran dalam setiap pelaburan masuk yang diluluskan.

“ECERDC perlu meneruskan momentum ini melalui proses fasilitasi yang efisien dan proaktif yang akan mengukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.