
RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam satu nota penyelidikan berkata pengecualian terhadap sektor penting seperti makanan asas, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam membantu mengelak bebanan meluas kepada ekonomi dan mengawal inflasi.
Firma itu menjelaskan peluasan SST kepada barangan bukan keperluan seperti produk mewah, hiburan dan gaya hidup hanya memberi kesan kecil terhadap Indeks Harga Pengguna (CPI), sekitar 0.1% hingga 0.2% setahun.
Menurutnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang hampir 40% kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga tidak terjejas sekali gus mampu mengelakkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi secara meluas.
“Kesan terhadap KDNK kekal terhad kerana sektor-sektor ini mewakili bahagian kecil daripada keseluruhan output ekonomi,” menurut nota penyelidikannya.
RHB IB berkata hasil tambahan sehingga RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop SST bukan sahaja memperkukuhkan kewangan kerajaan tetapi ruang fiskal lebih besar untuk mengurus perbelanjaan awam serta mengurangkan defisit bajet.
“Tambahan hasil ini dijangka dapat menurunkan defisit belanjawan dari RM80 bilion kepada RM75 bilion dan kadar defisit fiskal kepada KDNK dapat dikurangkan daripada 3.8% kepada 3.6% pada 2025,” katanya sambil menjangkakan langkah konsolidasi fiskal itu mampu menyumbang sasaran defisit 3.0% pada tahun depan.
Menerusi peluasan skop SST, cukai jualan (CJ) keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan.
Cukai perkhidmatan (CP) pula diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan had nilai ambang pendaftaran pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Kerajaan turut mengumumkan ambang jualan bagi perniagaan tertakluk kepada CP untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan naik daripada RM500,000 kepada RM1 juta, membolehkan lebih ramai pengusaha kecil menikmati manfaat pengecualian cukai.
Sementara itu, MIDF Research berkata permintaan terhadap hartanah kekal memberangsangkan dan impak peluasan SST dijangka minimum berikutan bangunan kediaman terus dikecualikan cukai berkenaan.
“Bagi bangunan komersial dan perindustrian pula, kami menjangkakan impak SST adalah terhad memandangkan permintaan terhadap aset industri kekal kukuh,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu turut mengunjurkan jualan hartanah baharu akan meningkat pada separuh kedua 2025 seiring pelancaran projek lebih aktif dan peningkatan ketara permohonan pinjaman perumahan.
“Permohonan pinjaman melonjak 6.1% tahun ke tahun kepada RM56.2 bilion pada April, selepas mencatatkan pertumbuhan 4.8% pada Mac,” menurutnya.
Dalam pada itu, firma penyelidikan CIMB Securities percaya peluasan SST memberi kesan kecil kepada sektor automotif tempatan, susulan peningkatan dalam kos sewa bilik pameran dan pengedar.
“Namun kami percaya kesannya adalah minimum kerana jualan kenderaan sudah dikenakan cukai jualan sebanyak 10%, manakala perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan 8%,” menurut nota penyelidikan itu.