Fadil Marsus pangku jawatan pengarah JSJ Bukit Aman

Fadil Marsus pangku jawatan pengarah JSJ Bukit Aman

Ia susulan pertukaran Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

FADIL MARSUS
Ketika ini Fadil Marsus adalah timbalan pengarah (risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Fadil Marsus akan memangku jawatan pengarah JSJ Bukit Aman berkuat kuasa esok.

Ini susulan pertukaran Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula pada tarikh sama.

Majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Theatrette, Bukit Aman disaksikan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail.

Khalid dalam ucapan berkata, pelantikan Shuhaily merupakan satu penghormatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi begitu penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.

“Jadi ini bukan perkara kecil dan saya percaya ia satu amanah berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau. PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi untuk memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik serta berkesan,” katanya.

Shuhaily dalam ucapannya pula berkata beliau berterima kasih kepada semua warga PDRM khususnya pasukan JSJ yang memberi dorongan dan sokongan sepanjang satu tahun 11 bulan menggalas jawatan pengarah.

“Ini bukanlah selamat tinggal, tetapi jendela baharu dalam kerjaya saya. Sinergi antara PDRM dan AKPS adalah pemangkin utama untuk menjayakan hasrat kerajaan dalam mengawal sempadan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.