Tikam rakan sampai usus terburai, buruh ditahan

Tikam rakan sampai usus terburai, buruh ditahan

Suspek menikam rakannya itu ketika tercetus pergaduhan ketika masing-masing dipercayai mabuk.

Tular seorang lelaki dalam keadaan separuh sedar dengan usus terburai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki parah dengan usus terburai susulan ditikam rakan yang masing-masing dalam keadaan mabuk, dalam kejadian di sebuah pasar raya di Tawau, hari ini.

Dalam kejadian sekitar 3.43 petang itu, pergaduhan dikatakan tercetus antara kedua-dua lelaki itu yang juga buruh kasar, membawa kepada tikaman menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Tawau Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai insiden pergaduhan.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama Unit MPV bergegas ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki kira-kira 5 petang di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini,” katanya menurut Berita Harian.

Polis turut merampas senjata tajam disyaki digunakan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama untuk siasatan lanjut.”

Tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki terbaring bersama usus terburai dalam keadaan separuh sedar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.