Politik bukan eksklusif golongan elit berduit, tegas Pemuda PKR Sabah

Politik bukan eksklusif golongan elit berduit, tegas Pemuda PKR Sabah

Akta pendanaan politik perlu segera digubal agar tidak tutup peluang anak muda, wanita, dan aktivis masyarakat yang memiliki wawasan.

Ketua Penerangan Mohd Nur Hilmie Milus, berkata pelaksanaan akta pendanaan politik akan mewajibkan pendedahan sumber kewangan oleh semua parti dan calon secara telus dan bertanggungjawab. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PKR Sabah menuntut proses gubal akta pendanaan politik dilakukan segera demi kekang kuasa dipusatkan di tangan pihak bersumber kewangan besar, sekali gus menjadikan medan politik ruang eksklusif golongan elit.

Ketua Penerangan Mohd Nur Hilmie Milus, berkata Sabah sekian lama bergelut budaya politik wang dan ‘naungan’ yang mencengkam sistem pentadbiran serta keyakinan rakyat.

Justeru, Pemuda PKR Sabah menuntut proses penggubalan akta pendanaan politik segera dilaksanakan melalui suatu pendekatan terbuka dan inklusif.

“Tanpa undang-undang mengawal dan menyelia pendanaan politik secara adil dan telus, arena politik seperti di Sabah akan terus terperangkap dalam kitaran sama, iaitu politik yang kaya mengalahkan idealisme, kuasa menggantikan amanah, dan pengaruh politik mengatasi prinsip,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hal itu secara langsung menafikan potensi sebenar dalam kalangan rakyat menawarkan kepimpinan alternatif yang lebih bersih dan tulen.

“Ketiadaan peraturan yang ketat dalam aspek dana politik turut menyebabkan medan ini menjadi tertutup kepada ramai anak muda, wanita, aktivis masyarakat, dan calon rakyat biasa yang memiliki kepimpinan dan wawasan, namun tidak memiliki sumber kewangan besar.”

Nur Hilmie berkata, pelaksanaan akta itu akan mewajibkan pendedahan sumber kewangan oleh semua parti dan calon secara telus dan bertanggungjawab.

“Komitmen ini perlu diteruskan dan direalisasikan dalam semangat Malaysia Madani yang menjunjung prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, dan integriti institusi,” katanya.

Menurutnya, Jerman, Kanada, dan United Kingdom telah lama mewajibkan pendedahan sumber dana politik, menghadkan sumbangan individu, dan melarang pembiayaan asing serta korporat yang tidak telus.

“Kefahaman masyarakat terhadap pentingnya akta ini akan menjadi pemangkin kepada penerimaan awam dan sokongan politik yang menyeluruh, sekali gus menjadikan reformasi bukan sekadar agenda segolongan pihak sahaja, tetapi suara bersama seluruh rakyat Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.