
Fahmi berkata antara semua platform media sosial, Telegram mempunyai kadar pematuhan paling rendah – kurang daripada 50% – terhadap permintaan SKMM untuk menurunkan kandungan.
“Saya mengarahkan SKMM memanggil Telegram untuk satu mesyuarat minggu hadapan bagi membincangkan isu ini,” katanya kepada pemberita, selepas satu acara di Pantai Dalam pagi tadi.
Pada 19 Jun, SKMM memfailkan saman sivil terhadap Telegram dan dua salurannya kerana didakwa menyebarkan kandungan berbahaya yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengancam ketenteraman awam.
SKMM berkata dua saluran tersebut, ‘Edisi Siasat’ dan ‘Edisi Khas’, didapati telah menerbitkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial.
“Ia susulan kegagalan serius Telegram menangani kandungan berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan SKMM,” kata SKMM.
Fahmi berkata setakat 24 Jun tahun ini, SKMM telah meminta 1,188,528 kandungan berbahaya di pelbagai platform media sosial diturunkan. Bagaimanapun, hanya 173,642 permintaan itu dipatuhi.
“Daripada jumlah ini, 51% kandungan yang diturunkan adalah iklan perjudian dalam talian, manakala 24% adalah penipuan dalam talian.
“Kami akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan rakyat Malaysia tidak menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.
Fahmi menegaskan bahawa SKMM hanya boleh membuat permintaan, tetapi platform itu sendiri perlu melakukan apa yang perlu bagi memastikan kandungan tersebut tidak boleh diakses dalam negara.