
Tanpa mendedahkan parti itu, Muhyiddin berkata perkembangan terbabit menunjukkan keyakinan terhadap Bersatu yang menjadi antara tonggak utama Perikatan Nasional (PN).
Bercakap dalam satu program audio siar, pengerusi PN itu mengakui sudah ada rundingan ke arah itu selain pilihan membentuk kerjasama dalam bentuk pakatan pilihan raya.
“Dalam waktu saya bercakap ini pun sudah ada, saya tak payah sebutlah parti mana yang kata dia akan bubar (untuk bergabung dengan Bersatu).
“Ini sah dan dah dibuat (keputusan) dalam mesyuarat majlis tertinggi,” kata bekas perdana menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Bukan tiru BN
Jelasnya, pembentukan gagasan mantap dalam menuju PRU16 itu bukan untuk meniru BN, komponen yang pernah dianggotai Muhyiddin sebelum menubuhkan Bersatu secara rasmi pada 2017.
“Saya tak suka nak buat perbandingan begitu … dasar kita berbeza, cara dan ideologi kita tak sama.
“Tetapi matlamat kita supaya akhirnya, inilah parti pilihan,” kata Muhyiddin yang mengakui perancangan itu memerlukan masa.
Selain Bersatu, PN turut dianggotai PAS, Gerakan dan MIPP.
Pada November tahun, FMT melaporkan pendedahan seorang pemimpin Bersatu bahawa beberapa pertubuhan berasaskan Melayu berhasrat menyertai parti itu menjelang PRU16.
Menurut pemimpin itu, hasrat pertubuhan terbabit dikatakan termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa, mendapat maklum balas baik dengan beberapa siri perjumpaan telah berlangsung.
Pejuang yang permohonan menyertai PN ditolak pada Mac 2023 dikatakan masih berminat menjadi sebahgian komponen terbabit.
Tahun lalu, Presidennya Mukhriz Mahathir dipetik berkata pihaknya mungkin menggunakan pendekatan mewujudkan gabungan baharu untuk menyertai PN.