
Penganalisis berkata, parti yang ditubuhkan lima tahun lalu itu sudah terlepas peluang.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Muda berada pada kemuncaknya setahun sebelum PRU15.
“Mereka popular pada 2021 tetapi kini, sudah tiada siapa ingat pada mereka. Mereka terlepas peluang tarik pengundi kerana kehilangan momentum,” katanya kepada FMT.
Syaza berkata, Muda berdepan kesukaran menonjolkan identiti yang jelas atau menetapkan matlamatnya.
“Orang ramai tidak tahu apa yang sebenarnya Muda perjuangkan. Pada masa ini, rasanya lebih seperti NGO,” katanya.
Syaza turut berpendapat, Muda berdepan dengan isu imej, dengan parti itu dilihat seolah-olah hanya ‘parti seorang’. Wujud keraguan terhadap keupayaan Muda menjadi kuasa ketiga yang efektif, tambahnya.
Menghuraikan perbezaan operasi Muda dan PKR tatkala pemimpin utama mereka berdepan kemelut perundangan, Syaza menyatakan, dalam PKR, pemimpin lain mengambil alih teraju parti sewaktu presidennya Anwar Ibrahim – kini perdana menteri – dipenjarakan dua kali.
“Muda cuba buat perkara yang sama dengan pemangku presiden Amira (Aisya Abdul Aziz), tetapi langkah itu tidak mencukupi,” katanya.
Syed Saddiq melepaskan jawatan tertingginya dalam Muda selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan bersubahat pecah amanah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.
Pada Rabu, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Ahli Parlimen Muar itu daripada semua tuduhan.
Muda perlu veteran, sekutu
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Muda gagal merealisasikan strategi sejak awal, untuk memposisikan dirinya sebagai landasan bagi pengundi yang kecewa, merentasi spektrum politik.
“Muda mula-mula ditubuhkan untuk tarik pengundi muda, tidak semestinya daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi semua (pengundi muda). Itu strategi mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.
Bagaimanapun, menurut Azmi, Muda gagal menarik perhatian pengundi muda yang kecewa, terutamanya dalam kalangan bukan Melayu.
Beliau berkata, parti itu mungkin perlu mempertimbangkan semula pendekatannya untuk kekal relevan. Parti itu perlu lebih daripada sekadar pemimpin muda, seperti sekutu yang kuat, sama ada PH atau Barisan Nasional, tambahnya.
Bagaimanapun, Azmi berkata, kedua-dua gabungan itu mungkin teragak-agak untuk bekerjasama dengan Muda, bimbang parti itu mungkin tidak menawarkan nilai strategik yang cukup kukuh.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, pembebasan Syed Saddiq memberi peluang kepada Muda untuk membina semula imejnya.
“Muda dapat tarik ramai anak muda, termasuk orang Cina. Tetapi apa yang berlaku, ramai anak muda beralih arah selepas Syed Saddiq terpalit tuduhan rasuah, termasuk dalam kalangan orang Melayu.
“Sekarang ini, meskipun beliau telah dibebaskan oleh mahkamah, jika kembali kepada parti itu (Muda), saya khuatir beliau sukar dapat tempat kembali,” katanya.
Bagaimanapun, Chin berkata, halangan terbesar parti itu masih rundingan kerusi bersama bakal sekutu.
“Semuanya akan bergantung pada prestasi mereka. Masalah terbesar dihadapi mereka adalah untuk dapatkan kerusi untuk ditandingi daripada PH. Kali terakhir (PRU15), mereka hanya menang satu kerusi (di Muar),” katanya.
Chin berkata, Muda harus diberikan peluang kerana Syed Saddiq masih mampu menarik golongan muda pelbagai kaum.