
Muhammad Khairy yang berusia 65 tahun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 6.46 petang selepas beberapa bulan dirawat akibat jangkitan kuman dalam darah.
Perkara itu disahkan anak lelakinya, Muhammad Karl Iskandar Nunis yang memaklumkan jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Surau Silaturrahim, Taman Segambut SPPK, pada 8 pagi esok sebelum dikebumikan.
“Ayahanda kami telah kembali ke Rahmatullah di HKL petang tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anak jati Negeri Sembilan itu antara pemain utama skuad hoki kebangsaan era 1980an dan pernah mewakili negara di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 1984.
Beliau juga meninggalkan impak besar dalam dua edisi Sukan Asia iaitu di India pada 1982 dan Korea Selatan 1986, selain tiga kali tampil di Sukan SEA – 1983 (Singapura), 1987 (Jakarta) dan 1989 (Kuala Lumpur).
Selepas bersara pada 1989, Muhammad Khairy meneruskan sumbangan terhadap sukan hoki tanah air selaku jurulatih Terengganu dan Pahang serta pernah menjadi pembantu jurulatih skuad remaja kebangsaan pada 1994.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan pemergian Muhammad Khairy sebagai kehilangan besar buat arena sukan negara.
“(Beliau) banyak berjasa mengharumkan nama negara dan beliau melalui penderitaan yang panjang akibat penyakitnya,” katanya.
Sebelum ini, Yakeb dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan Muhammad Khairy dimasukkan ke HKL pada 21 Mei lalu susulan tahap kesihatannya yang merosot.