Semakan semula peluasan SST amat bermakna, kata Samenta

Semakan semula peluasan SST amat bermakna, kata Samenta

Samenta sebelum ini gesa kerajaan tingkat ambang SST bagi melindungi perusahaan kecil.

Samenta tidak akan menuntut konsesi tambahan berkaitan peluasan SST, susulan semakan peluasan SST oleh MoF.
PETALING JAYA:
Semakan semula peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) oleh Kementerian Kewangan (MoF) amat bermakna kepada perusahaan kecil dan sederhana, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Presiden William Ng berkata semakan itu termasuk ambang jualan tahunan yang lebih tinggi untuk cukai perkhidmatan ke atas penyewaan dan perkhidmatan kewangan, yang mengecualikan kira-kira 75% PKS daripada cukai tambahan 8% di bawah peluasan SST.

“Apabila peluasan SST pertama kali diumumkan, Samenta antara yang pertama menyuarakan kebimbangan terutamanya mengenai potensi kesannya terhadap PKS.

“Kami menggesa kerajaan untuk meningkatkan ambang SST, satu langkah bagi melindungi perusahaan lebih kecil, pada masa sama masih membenarkan asas cukai yang lebih luas dan adil,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, MoF memaklumkan semakan semula peluasan SST dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas orang ramai dan industri.

Ng berkata Samenta berterima kasih kepada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim kerana mendengar kebimbangan mereka dan mengarahkan MoF menyemak semula ambang itu.

“Walaupun kami akan terus menyokong pendekatan seimbang dan mesra PKS dalam pembaharuan cukai masa hadapan, kami menganggap perkara ini telah selesai dan tidak akan menuntut konsesi tambahan berkaitan peluasan SST,” katanya.

Beliau juga menggalakkan PKS terjejas mengambil langkah perlu untuk melaksanakan peluasan SST itu dan mendapatkan bantuan daripada kastam sekiranya perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.