
Presidennya Anthony Liew berkata dasar program itu jelas menyatakan pas MM2H tidak boleh ditukar statusnya, sambil menekankan sepanjang pengetahuanya tiada peserta mendapat taraf kewarganegaraan sejak 2002.
Beliau menyifatkan kemungkinan cuba digambarkan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad bahawa seorang rakyat berketurunan Cina menjadi perdana menteri sebagai tidak bertanggungjawab.
“Itu kenyataan mengarut,” katanya kepada FMT.
“Pas MM2H hanya boleh diperbaharui setiap lima tahun dan selepas kitaran pertama selesai. Ada pelanggan tidak tinggal lama pun di Malaysia. Malah, sesetengah tanggungan yang merupakan pelajar akan membatalkan pas mereka selepas tamat pengajian.”
Liew mempersoalkan sama ada Zaharudin cuba menjejaskan dan menggagalkan program MM2H ketika kerajaan giat mempromosikan inisiatif itu di peringkat antarabangsa.
“MM2H adalah pas jangka panjang untuk tinggal sahaja. Sebarang perubahan dasar perlu melalui Kabinet.
“Jadi kenyataan itu tidak betul. Beliau sepatutnya memohon maaf kepada semua yang telah berusaha keras dalam program MM2H,” katanya.
Semalam, Zaharudin cuba mempertahankan hantaran Facebook yang kini telah dipadam, memaparkan gambar Johnny Lim Eng Seng, yang dinaikkan pangkat sebagai leftenan jeneral angkatan tentera awal minggu ini. Lim menjadi rakyat Malaysia berketurunan Cina pertama mencapai pangkat tiga bintang itu.
Zaharudin berkata hantaran itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kemungkinan pemegang visa MM2H mendapat anak di Malaysia, memohon kewarganegaraan dan akhirnya mengundi di negara ini.
Beliau mendakwa program itu boleh menyebabkan lambakan warga asing di Malaysia yang kemudian akan memohon kewarganegaraan. Ini, menurutnya, boleh membawa kepada “seorang perdana menteri yang lahir daripada kalangan warga asing menjelang tahun 2058”.
Zaharudin, yang juga menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, turut mendakwa gambar Lim dimuat naik hanya untuk ‘tujuan hiasan’. Ia tidak bertujuan menyampaikan sebarang mesej tersurat atau tersirat, katanya.
Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim, telah menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap Zaharudin, manakala Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan tersebut bercanggah dengan pendirian parti itu.
Takiyuddin turut memberi amaran tindakan disiplin akan dikenakan ke atas mana-mana ahli yang melakukan perbuatan tidak sensitif yang menjejaskan perpaduan nasional dan mencetuskan ketidakharmonian.
FMT telah menghubungi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengulas kenyataan Zaharudin.