
Firma guaman yang mewakili kumpulan pekebun itu berkata, ia diarahkan menarik balik rayuan itu, tanpa sebarang arahan mengenai kos.
Defendan-defendan, terdiri daripada kerajaan Pahang, Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd dan beberapa pihak lain, diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan bantahan.
Tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan kumpulan pekebun itu untuk semakan kehakiman. Mereka memfailkan permohonan itu selepas kerajaan negeri memutuskan untuk memajakkan tanah kebun seluas 2,167 hektar kepada Royal Pahang Durian Resources.
Hakim Radzi Harun turut menolak permohonan untuk mengkaji semula langkah subpajakan oleh kerajaan negeri dengan syarat mandatori durian yang ditanam dijual kepada entiti tunggal dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources.
Pengarah Eksekutif Royal Pahang Durian Resources Steven Mun mengesahkan menerima surat itu, tetapi berkata permohonan pekebun-pekebun itu masih belum difailkan di mahkamah.
“Kami berharap pemfailan yang diperlukan akan dibuat di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi,” katanya kepada FMT.
Mun berkata, penyelesaian pertikaian itu membolehkan satu aturan berstruktur diwujudkan, di mana para pekebun diberikan pajakan selama 30 tahun, dengan pilihan untuk membaharuinya bagi tempoh 30 tahun lagi, tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.
Katanya, mengikut terma yang ditawarkan kepada pekebun, Royal Pahang Durian Resources akan membeli durian dari ladang-ladang ini, ‘sekaligus mengawal selia rantaian bekalan dan memastikan eksport mematuhi pensijilan yang disyaratkan oleh negara pengimport’.
Lebih banyak negara pengimport mensyaratkan agar eksport durian mendapat pensijilan dan mematuhi piawaian Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP), menurut Mun.