
Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak Annuar Rapaee berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan dua minggu lalu itu akan memperincikan butiran seperti lokasi pelajar dibenarkan menyewa.
Antara faktor yang akan dipertimbangkan ialah jarak penginapan dengan kampus, lapor The Borneo Post.
Annuar menegaskan, kediaman pelajar mestilah selamat dan bersih.
Katanya, kakitangan universiti, bersama pegawai kesihatan dan pihak berkuasa tempatan, akan memeriksa premis untuk menentukan sama ada ia sesuai didiami pelajar.
Kerajaan Sarawak akan menawarkan pendidikan tinggi percuma, beserta elaun, kepada semua rakyat Sarawak mulai tahun depan. Sebahagian elaun ini akan membantu pelajar menampung kos menyewa di luar kampus.
“Pelajar dibenarkan tinggal di luar kampus, tetapi tidak boleh menyewa sesuka hati. Pemilik hartanah boleh sewa (kediaman) kepada pelajar, tetapi tidak boleh secara langsung.
“Mereka mesti selaras dengan pihak universiti dan dapatkan kelulusan untuk menentukan sama ada hartanah mereka boleh disewakan kepada pelajar,” kata Annuar.
Annuar berkata, terdapat rancangan mewajibkan tuan rumah mendaftar dengan unit penginapan pelajar di empat universiti milik kerajaan negeri, iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak; Universiti Curtin Malaysia; Universiti Teknologi Sarawak (UTS); dan Kolej Universiti i-CATS.
Annuar menegaskan, pelajar perlu mengambil kira faktor-faktor seperti keselamatan, lokasi dan kesesakan apabila menyewa di luar kampus.
Menurutnya, ada peraturan majlis tempatan melarang lot kedai tertentu disewa untuk tujuan penginapan. Terdapat garis panduan bahawa jika lot kedai disewakan untuk dijadikan kediaman, ruang itu tidak boleh terlalu sesak, tambahnya.
“Institusi-institusi harus tahu peraturan ini dan mesti menyimpan rekod kediaman pelajar di luar kampus … untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Pelajar mungkin pilih (menginap di) tempat yang terlalu sesak kerana sewa lebih murah,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar mengucapkan takziah kepada keluarga Maniishapriet Kaur Akhara, 20, seorang pelajar Universiti Cyberjaya dari Kuching, yang ditemukan meninggal dunia di unit kondominiumnya.
Tiga suspek yang ditahan berhubung kematiannya telah direman tujuh hari hingga 3 Julai.