Pusat respons pantau semua bentuk jenayah siber

Pusat respons pantau semua bentuk jenayah siber

Perdana menteri berkata kerajaan juga setuju tubuh rangkaian respons 24 jam, digerakkan menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.

hacker scammer
Hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju memperluas skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) supaya merangkumi semua bentuk jenayah siber, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau juga berkata kerajaan bersetuju menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara. (Gambar Facebook)

Anwar berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa terdapat hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022 dan menyifatkan ia satu angka yang membimbangkan selain menuntut tindakan tegas serta bersepadu dilaksanakan.

Perdana menteri juga berkata Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.

Beliau berkata pendekatan no wrong door turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.

“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.