
Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata laporan polis dibuat pada 10.28 pagi berhubung penemuan mangsa di unit kondominium Mutiara Ville didiaminya.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada tanda kediamannya dipecah masuk. Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di kepala.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan hentakan objek tumpul di kepala. Tiada kecederaan yang konsisten dengan rogol,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang dilaporkan berasal dari Kuching, Sarawak ditemui dengan kesan kecederaan di badan oleh rakannya kira-kira 10 pagi semalam.
Dia dikatakan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang fisioterapi dan tinggal di bilik itu bersama lima pelajar lain. Bagaimanapun, rakan sebiliknya telah pulang ke kampung halaman untuk bercuti pada 21 Jun lalu.