Polis Terengganu terima 22 laporan kecurian di tapak ECRL

Polis Terengganu terima 22 laporan kecurian di tapak ECRL

Polis berkata jumlah itu berkurangan berbanding 35 laporan diterima membabitkan kerugian hampir RM2 juta dari 1 Jan hingga 31 Mei 2024.

Mohd Khairi Khairuddin
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin berkata 13 kertas siasatan dibuka melibatkan lima kes di Besut, empat di Marang, dua di Setiu serta masing-masing satu kes di Kemaman dan Dungun. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Polis menerima 22 laporan kecurian, termasuk kabel membabitkan kerugian RM300,000 di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu bermula 1 Jan hingga 31 Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairuddin, berkata daripada jumlah itu, 13 kertas siasatan dibuka melibatkan lima kes di Besut, empat di Marang, dua di Setiu serta masing-masing satu kes di Kemaman dan Dungun.

“Lima daripada 13 kes itu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 414 dan 379/511 Kanun Keseksaan. Lima kes lagi NFA (tiada tindakan lanjut) disebabkan tiada keterangan kukuh untuk tuduh tangkap, manakala tiga kes masih dalam siasatan,” katanya kepada Bernama.

Tetapi, beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan 35 laporan polis diterima membabitkan kerugian hampir RM2 juta dari 1 Jan hingga 31 Mei 2024.

Dalam tempoh itu juga, katanya, 23 kertas siasatan dibuka membabitkan lapan kes di Marang, masing-masing lima kes di Kuala Terengganu dan Besut, tiga kes di Setiu serta dua kes di Dungun.

Menurutnya, bagi lima bulan pertama 2024, lapan kes dituduh di bawah Seksyen 414 dan 379/511 Kanun Keseksaan, manakala lima kes NFA dan 10 kes masih dalam siasatan polis.

Justeru, Khairi menggesa syarikat atau pengurusan tapak projek di Terengganu memperketatkan kawalan keselamatan bagi membendung aktiviti kecurian, termasuk kabel di kawasan tapak projek.

Beliau berkata, antara langkah boleh dilaksanakan adalah memasang pagar keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu pencahayaan mencukupi, khususnya pada waktu malam.

“Pihak syarikat atau pengurusan tapak projek juga dinasihat menyediakan pengawal keselamatan mencukupi dan memastikan peralatan serta bahan binaan disimpan dengan selamat, selain direkod dalam sistem inventori sistematik.”

Katanya, masyarakat setempat pula perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau pengurusan tapak projek, seperti pergerakan tidak biasa atau cubaan menceroboh kawasan projek.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, polis perlu bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL yang boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek itu.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) turut bimbang dengan kes kecurian kabel di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.