Pemandu sorok notis punca KDEB tanggung 22,000 saman

Pemandu sorok notis punca KDEB tanggung 22,000 saman

Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd Ramli Tahir berkata syarikat itu sebelum ini selesaikan lebih 12,000 saman.

kdeb truck
Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd Ramli Tahir berkata pihaknya dalam proses untuk menyelesaikan semua saman dikenakan terhadap kenderaan syarikat itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan pemandu lori menyembunyikan saman dikeluarkan terhadap mereka menjadi antara punca KDEB Waste Management Sdn Bhd menanggung 22,017 saman aktif seperti didedahkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Pengarah Urusannya Ramli Tahir menjelaskan, KDEB mempunyai hampir 1,500 lori didaftarkan atas nama syarikat itu namun dikendalikan sub kontraktor di seluruh Selangor.

Antara kenderaan terbabit termasuk lori kompaktor untuk mengangkut sisa pepejal selain lori Roll On Roll Off (RORO).

Ramli Tahir.

“Bila operator ini dapat saman selalunya pemandu akan sembunyikannya, tak beri kepada kontraktor atau kami. Dalam kata lain KDEB langsung tidak mengetahuinya.

“Apabila tak bayar tiga bulan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan saman mengikut alamat berdaftar dan sampai ke pejabat kami di Shah Alam,” kata Ramli kepada FMT.

Ramli berkata, syarikat itu perlu menyelesaikan saman tersebut dalam tempoh dua bulan sebelum dibawa ke mahkamah.

Katanya, KDEB sebelum ini menyelesaikan lebih 12,000 saman dikeluaran terhadap kenderaan miliknya yang dipandu pekerja syarikat kontraktor atas pelbagai kesalahan.

“Cuma yang 22,000 saman ini kita dalam proses nak bayar sebab terima lambat, ada operator atau pemandu tak beri kepada KDEB kerana mungkin disorok atau dibuang.

“Kita akan potong (bayaran saman) daripada pembayaran bulanan kepada sub kontraktor terbabit,” katanya memaklumkan semua syarikat itu setuju beroperasi ikut undang-undang termasuk bayar saman trafik.

Loke dalam sidang media hari ini mendedahkan, sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dikenal pasti mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak termasuk 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan lebih 200 saman.

Katanya, KDEB yang juga syarikat pengurusan sisa pepejal milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 22,017 saman aktif.

Ia melibatkan kesalahan teknikal, tiada lesen memandu, lebih muatan, tiada lesen kenderaan (LKM) dan memandu lebih had laju.

Semua syarikat terbabit diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman hari ini untuk menyelesaikan saman tertunggak di pejabat JPJ negeri dan cawangan.

Sementara itu, KDEB dalam satu kenyataan malam tadi menghargai peranan JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya.

“Kami ingin menyatakan komitmen penuh dalam memperkukuh sistem pemantauan dalaman, memperkemas komunikasi dengan sub kontraktor serta memastikan pematuhan undang-undang secara konsisten,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.