
SR Aingaran, 19, mengaku bersalah sengaja menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Jabarul Yahya Arif, 31, di pondok pengawal IPK negeri kira-kira 9.40 malam Ahad lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Suhaila Baharin tidak menerima pengakuan bersalah Aingaran yang tidak dapat mengenal pasti beberapa gambar ditunjukkan kepadanya, walaupun dia mengakui fakta kes menumbuk pipi dan menggigit dada Jabarul.
“Mahkamah tidak menerima pengakuan bersalah anda kerana anda tidak mengenal pasti beberapa keping gambar yang ditunjukkan kepada anda.
“Oleh itu, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk serahan dokumen dan tertuduh melantik peguam,” katanya menurut Harian Metro.
Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000, tetapi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, S Bommy merayu ikat jamin minimum memandangkan anak guamnya hanya dibayar RM1,800 sebulan sebagai kelindan lori.
“Dia baru 19 tahun dan masih muda,” katanya.
Majistret menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh atau ahli keluarganya tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
“Jika ada sebarang aduan, jaminan akan dibatalkan,” kata majistret yang menetapkan 21 Julai ini sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki ditahan kerana didakwa menyerang seorang anggota polis di IPK negeri Ahad lalu.
Kejadian berlaku apabila seorang anggota polis, 30, menahan kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun dekat pintu utama IPK kerana disyaki mabuk.
Selepas pemeriksaan awal, anggota polis itu membawa kedua-duanya ke dalam pondok pengawal untuk pemeriksaan lanjut, sebelum mereka didakwa menjadi agresif dengan menumbuk pipi dan menggigit dada anggota polis berkenaan, selain mengeluarkan kata-kata kesat.