C4 kaitkan salah laku NGO dengan kurang peraturan, pengawasan

C4 kaitkan salah laku NGO dengan kurang peraturan, pengawasan

CEO C4 Pushpan Murugiah berkata tiada peraturan menyebabkan NGO berisiko disalah guna untuk aktiviti rasuah.

Pushpan Murugiah
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Pushpan Murugiah mahu kerajaan melaksanakan pembaharuan untuk menambah baik tadbir urus NGO dan badan kebajikan.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemantau antirasuah memberi amaran kekurangan peraturan dan pengawasan konsisten menyebabkan pertubuhan kebajikan terdedah ketidaktelusan serta salah laku.

Pushpan Murugiah, ketua pegawai eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), berkata ini menyebabkan beberapa NGO serta badan kebajikan terjerat skandal, contoh “ketara” ialah Aman Palestin Berhad dan Yayasan Akalbudi yang ditubuhkan atas tujuan kebajikan.

Pada Februari 2024, dua eksekutif Aman Palestin serta seorang pengarah syarikat didakwa atas 164 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, pecah amanah dan penipuan.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi turut berdepan pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, tetapi beliau dilepas tanpa dibebaskan pada September 2023.

“Wujud risiko di mana bukan saja kumpulan ‘pro-perniagaan’, tetapi NGO secara keseluruhan boleh digunakan untuk memudahkan rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pembatalan pendaftaran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) atas kegagalan mengemukakan penyata kewangan tahunannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Ahad lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengumumkan ia tidak akan bekerjasama dengan Ikhlas lagi selepas mendapati pendaftarannya dibatalkan pada 2022.

Pushpan berkata, tiada undang-undang khusus untuk mentadbir “NGO” dan “badan kebajikan”, selain kesamaran berhubung definisi istilah itu.

Sebaliknya, beliau berkata, banyak NGO didaftarkan bawah rangka kerja undang-undang berbeza – ada yang didaftarkan sebagai pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966, manakala yang lain sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan mengikut Akta Syarikat 2016.

“Tanpa kejelasan undang-undang siapa yang bertanggungjawab mengawasi badan kebajikan menyebabkan ramai terlepas daripada akauntabiliti dan pengawasan terhadap tindakan mereka.”

Justeru, Pushpan menggesa kerajaan menambah baik tadbir urus badan sedemikian dan mencadangkan penubuhan badan pengawasan tunggal bagi mengawal aktiviti mereka.

Menurutnya, penubuhan badan sedemikian – sejajar pembaharuan lain yang diperlukan seperti Akta Pendanaan Politik, peraturan pemilikan benefisial yang telus dan Akta Perolehan – akan memastikan badan kebajikan tidak disalahgunakan untuk tujuan rasuah.

“Ini penting apabila membabitkan organisasi mempunyai hubungan dengan parti politik atau ahli politik.”

Salim Bashir
Salim Bashir.

Peguam Salim Bashir menggesa undang-undang digubal untuk memaksa NGO mendedahkan sumber pendapatan mereka dan cara pengurusan dana itu.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan badan pengawasan seperti Suruhanjaya Amal UK bagi memantau aktiviti NGO atau menangani aduan terhadap tindakan menyalahi undang-undang yang dianggap memudaratkan keselamatan awam dan ekonomi,” katanya menurut Scoop.

Rajesh Nagarajan
Rajesh Nagarajan.

Peguam Rajesh Nagarajan berkata, NGO memainkan peranan penting dalam pembentukan negara dan perlu tertakluk kepada semak dan imbang berpatutan – khasnya apabila kepercayaan awam dan kepentingan komersial bertindih.

Beliau mencadangkan perniagaan merujuk kepada pelbagai dewan perniagaan dan persatuan perdagangan untuk mengesahkan kewujudan serta reputasi NGO, khasnya yang kurang dikenali, sebelum memberikan sumbangan.

Langkah itu boleh mengelakkan syarikat dikaitkan dengan sebarang usaha pengumpulan dana palsu.

“Libat urus dengan peguam terlebih dahulu apabila berdepan permintaan sumbangan mencurigakan atau ancaman berselindung di bawah ‘aktivisme’ untuk mengelakkan kewangan dan reputasi terjejas,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.