Bapa maut ditikam, lelaki ditahan bantu siasatan

Bapa maut ditikam, lelaki ditahan bantu siasatan

Mangsa ditemukan terlentang dan berlumuran darah di dapur rumah dengan kesan tikaman di perut serta hirisan pada dada.

Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengumumkan penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian bapanya. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kematian bapanya yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Tasek Damai, tengah malam tadi.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 31 tahun bekerja sebagai penjual sambilan ditahan pada 12.15 tengah malam tadi dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Mangsa berusia 57 tahun ditemukan terlentang dan berlumuran darah di dapur rumah dengan kesan tikaman di perut serta hirisan pada dada.

“Suspek tinggal bersama mangsa dan memberitahu kali terakhir bapanya membalas pesanan telefon pada 2.40 petang dan semasa pulang ke rumah pada 7.30 malam, pintu jeriji dan pintu cermin (pintu gelangsar) terbuka manakala sofa di ruang tamu tidak tersusun.

“Bagaimanapun, tiada barang berharga hilang. Pemeriksaan mendapati kamera litar tertutup rumah itu tidak berfungsi,” katanya dalam kenyataan.

Abang Zainal berkata polis menemukan sebilah pisau berukuran 22 sentimeter yang telah dibersihkan di singki dapur, dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata jiran mangsa memberitahu kali terakhir melihat lelaki itu di luar rumah pada 11 pagi, selain tidak mendengar atau melihat sebarang kejadian mencurigakan di rumah tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.