
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata ia melibatkan pelbagai kesalahan serius berkaitan keselamatan jalan raya.
“Ia melibatkan kesalahan teknikal, tiada lesen memandu, lebih muatan, tiada lesen kenderaan (LKM) dan memandu lebih had laju.
“MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam sidang media di kementerian.
Loke berkata, kerajaan komited memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkat dan menyeru semua pihak memainkan peranan.
Dalam pada itu, Loke mendedahkan KDEB Waste Management Sdn Bhd yang juga syarikat pengurusan sisa pepejal milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 22,017 saman aktif.
Manakala, bagi pengendali bas, syarikat Cepat Ekspres mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 540 saman aktif.
Katanya, semua syarikat terbabit diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman hari ini untuk menyelesaikan saman tertunggak di pejabat JPJ negeri dan cawangan.
“Kegagalan pihak syarikat berbuat demikian akan disusuli tindakan penguatkuasaan lebih tegas termasuk kenderaan tersebut disenarai hitam serta-merta,” katanya.
Beliau berkata, tindakan itu adalah amaran kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan soal keselamatan dengan merujuk tragedi meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Menurutnya, langkah drastik lain akan diambil termasuk menamakan syarikat yang cuai sebagai mesej jelas pihaknya tidak bertoleransi dengan kelalaian pemandu.
Selain penguatkuasaan, Loke menyeru orang awam menyebarkan video salah laku pengguna jalan raya membabitkan kenderaan berat supaya pihaknya dapat mengambil tindakan sewajarnya.
FMT telah menghubungi pengurusan KDEB untuk maklum balas.