Suami isteri mengaku tak salah aniaya anak

Suami isteri mengaku tak salah aniaya anak

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau pada 18 Jun.

mahkamah kangar
Mahkamah Sesyen Kangar menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan. (Gambar fail)
KANGAR:
Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menganiayai anak perempuan mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh berumur 37 tahun didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berusia 10 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau kira-kira 12.15 tengah hari pada 18 Jun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membenarkan pasangan itu diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara berserta syarat tambahan, iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan serta tidak dibenarkan mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala suami isteri itu diwakili peguam S Devendran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.