
Beliau mendedahkan, ketika cadangan pelan itu dibawa ke meja rundingan, terdapat kekangan daripada kelompok yang sudah hidup selesa dan mewah tidak mahu diganggu.
“Bila kita muktamadkan pelan ini, tentunya ia tidak akan memenuhi hasrat semua pihak. Bila kita perkenalkan perumahan rakyat dalam kekangan yang ada, kita juga hadapi masalah kerana elit yang sudah hidup selesa tidak mahu diganggu.
“Bila dengan keadaan terbatas begitu, dia (kelompok elit) rasa ada tekanan, tentuna kita harus bincang dan santuni.
“Tetapi saya nak tekankan di sini, kerana ada pengalaman kita bangunkan beberapa projek Madani di mana bantahan itu dari golongan elit, saya minta mereka faham dan beri kerjasama,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran PTKL2040.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Anwar juga berjanji, pembangunan lebih terancang itu tidak akan meminggirkan kelompok ‘yang tidak mempunyai pengaruh’ termasuk peniaga kecil.
“Kita kena bangunkan semula (Kuala Lumpur). Kita mahu mereka (berpendapatan rendah) merasakan mereka juga warga Kuala Lumpur bukan warga terpinggir di Kuala Lumpur.
“Percayalah, pihak paling rendah darjatnya dalam mana-mana kawasan itu, paling kecil pengaruhnya di situlah peranan kita pimpinan politik untuk memastikan keadilan terhadap mereka,” katanya
PTKL 2040 adalah pelan yang termaktub dari segi perundangan untuk diguna pakai oleh datuk bandar bagi mengawal perancangan pembangunan di Kuala Lumpur.
Pada 30 Jan tahun lalu, Zaliha menyeru pihak termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, industri, NGO mahupun warga kota dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam terhadap kandungan Draf PTKL 2040.
Beliau berkata, semua pihak dipelawa memberikan sebanyak mungkin pandangan, cadangan serta idea terhadap kandungan draf PTKL 2040 untuk diteliti oleh jawatankuasa terlibat sebelum diwartakan tahun ini.