
Permohonan perintah waran tangkap itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan kepada Majistret Naidatul Athirah Azman selepas pemilik terbabit gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan kes, lapor Harian Metro.
Naidatul Athirah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan waran tangkap berkenaan.
Pemilik syarikat itu sepatutnya perlu hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 58 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Ia berkaitan dengan kesalahan jumlah muatan yang dibawa oleh lori yang tidak selaras dengan syarat lesen dan didapati melebihi had berat dengan muatan (BDM) ditetapkan.
Dalam kenyataan sebelum ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan tindakan pembatalan lesen pengendali syarikat lori terbabit selepas tragedi yang mengorbankan sembilan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, 13 Mei lalu.
Syarikat terbabit, Tashveen Trading gagal penuhi syarat lesen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(iii) dan Seksyen 58(1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715), gagal beri akses kepada rekod sepertimana di bawah Seksyen 210(1)(a) akta sama, serta melanggar Keperluan Tahap Perkhidmatan Kenderaan Barangan.
Kejadian 8.40 pagi itu turut menyebabkan dua anggota FRU cedera parah berlaku apabila lori sarat dengan batu kerikil melanggar trak FRU membawa anggota pulang dari penugasan keselamatan di Ipoh.
Pada 16 Mei lalu, pemandu lori membawa muatan batu berkenaan, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, telah dihadapkan ke mahkamah sesyen atas sembilan pertuduhan.