Majlis belia cadang gaji minimum RM2,000–RM2,500 tarik lepasan TVET kerja ladang

Majlis belia cadang gaji minimum RM2,000–RM2,500 tarik lepasan TVET kerja ladang

MBM sambut baik langkah progresif Kementerian Perladangan dan Komoditi menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani umum KPK menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan supaya mengambil pelajar lepasan TVET dalam bidang berkaitan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.
PETALING JAYA:
Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan menetapkan gaji minimum antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi menarik minat mereka bekerja dalam sektor perladangan.

Presiden Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid memuji dan menyokong langkah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan supaya mengambil lepasan TVET sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.

“Tindakan KPK merupakan pendekatan yang tepat dan progresif kerana ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing serta memberi peluang kepada anak tempatan, seperti generasi baharu Felda, untuk terlibat secara langsung dalam sektor perladangan.

“Selain daripada gaji yang setimpal dan kompetitif, MBM mencadangkan gaji minimum sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan sebagai permulaan untuk menarik minat lepasan TVET, bersesuaian dengan kerja berat dan persekitaran mencabar di ladang,” katanya kepada FMT.

Izzat turut mencadangkan kerajaan melakukan penjenamaan semula kerjaya perladangan bagi menarik golongan muda menceburinya, antaranya mengubah persepsi bidang itu kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) menjadi kerja profesional yang menawarkan kerjaya jangka panjang dan peluang kenaikan pangkat.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mewujudkan laluan kerjaya yang jelas untuk lepasan TVET, misalnya bermula sebagai penyelia teknikal ladang, kemudian dinaikkan ke jawatan pengurus blok atau pengurus ladang.

“Galakkan integrasi teknologi moden dalam sektor perladangan seperti penggunaan dron, automasi dan sistem pengurusan pintar yang lebih mesra kepada generasi muda yang mahir teknologi,” katanya.

MBM turut menyarankan kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif cukai kepada syarikat yang menggaji pekerja muda tempatan atau menyediakan program latihan industri untuk lepasan TVET.

Katanya lagi, prasyarat pengambilan lepasan TVET juga wajar diperluas ke sektor lain seperti pembuatan, pembinaan dan lain-lain.

“MBM komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pemain industri dalam menjayakan dasar ini demi memastikan anak muda tempatan terus menjadi tunjang pembangunan ekonomi negara, bukan sekadar menjadi penonton di tanah air sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani mengumumkan KPK menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan supaya mengambil pelajar lepasan TVET dalam bidang berkaitan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.

Katanya, pemain industri perlu kemuka bukti pengambilan pelajar TVET kepada kementerian terlebih dahulu, sebelum permohonan pengambilan pekerja asing dipertimbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.