
Presiden Izzat Afifi Abdul Hamid berkata peluang perlu dicipta merentasi pelbagai industri, termasuk teknologi, akademik, dan perdagangan.
“Untuk bangun semula daripada wabak sesuatu yang mencabar bagi setiap anak muda,” katanya kepada FMT.
“Sokongan kerajaan dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dari segi mencipta pekerjaan, pendidikan mahupun sambungan internet, serta peluang yang adil dan sama rata di semua kawasan harus menjadi antara fokus belanjawan.”
Izzat juga berharap pekerjaan yang lebih berkualiti dan “kalis masa depan” akan diwujudkan untuk golongan muda, khususnya dalam bidang teknologi.
Bagi penambahbaikan sistem pendidikan, pemimpin belia itu berkata, cara silibus diajar memainkan peranan besar dalam memastikan kemahiran kanak-kanak kalis masa depan.
“Kita perlu mula mengajar anak muda tentang teknologi melalui bahan (pendidikan) digital dari usia semuda mungkin,” kata Izzat.
Sementara itu, untuk memastikan peluang yang adil dan saksama diwujudkan bagi golongan belia di setiap kawasan, Izzat berkata, kerajaan perlu menghapuskan prasangka apabila memperkasakan golongan muda kerana mereka aset berharga.
“Sama ada mereka tinggal di luar bandar, bandar mahupun jauh di pedalaman Sabah dan Sarawak, semua belia serupa. Tumpuan harus diberikan kepada membangunkan kapasiti mereka secara sama rata,” katanya.
Kesihatan dan perpaduan
Izzat berharap, belanjawan tahunan akan membiayai lebih banyak program intervensi untuk belia yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, obesiti, dan ketagihan vape.
Sementara itu, pengasas bersama kumpulan belia Undi18 Tharma Pillai menggesa pembiayaan ditingkatkan untuk program pendidikan pengundi dan nyahradikal.
“Campur tangan diperlukan untuk meningkatkan perpaduan negara. Terdapat beberapa program bawah Kementerian Perpaduan Negara tetapi lebih banyak usaha perlu dilakukan,” katanya.
Tindakan pantas
Izzat berkata usaha kerajaan menggalakkan pembangunan terhalang oleh peruntukan ternyahpusat, dan kementerian yang berbeza mempunyai keutamaan sendiri dalam isu belia.
Bagi menyelesaikan masalah itu, Izzat mencadangkan mesyuarat jawatankuasa khas belia sedia ada diadakan dengan lebih kerap agar isu dapat ditangani dengan lebih pantas.